10 SIMPTOM BAHAYA SELEPAS BERSALIN YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN

0

Assalamualaikum

Tengahari tadi dapat mesej daripada seorang sahabat bagitahu.. “Sahabat kita xxx masuk ICU akibat pendarahan teruk selepas bersalin dan rahimnya terpaksa dibuang. Anaknya pula dimasukkan ke NICU dan terpaksa bergantung pada mesin pernafasan.”

Allahuakbar.

Tergamam sebentar.

Berat rasanya ujian ini, berat lagi insan yang menanggungnya. Bersalin memang satu tempoh yang getir bagi setiap wanita. Perjuangan antara hidup dan mati demi melahirkan zuriat pengikat cinta antara suami dan isteri. Setiap wanita pasti berbeza pengalaman bersalin, dan pengalaman saya sendiri bersalinkan dua orang anak soleh pun amat berbeza.

Selepas bersalin, banyak simptom yang kita tak boleh abaikan kerana mengundang bahaya dan boleh membawa maut. . Sedikit pendarahan, ketidakselesaan dan keletihan selepas bersalin adalah normal. Bagaimanapun, keadaan kecemasan masih boleh berlaku selepas beberapa hari atau minggu bersalin yang mungkin memerlukan ibu mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

10 SIMPTOM BAHAYA SELEPAS BERSALIN YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN

Pendarahan yang banyak atau berlaku secara tiba-tiba

Ianya mungkin disertai dengan tanda-tanda kejutan seperti denyutan jantung yang cepat, pening kepala, berpeluh dan pitam. Kehilangan darah melalui faraj (pendarahan pospartum-tumpah darah) yang banyak secara tiba-tiba perlu rawatan yang segera.

Tekanan Darah Tinggi

Dalam masa 6 jam selepas bersalin, tekanan darah ibu haruslah diperiksa. Jika bacaan bawah (diastolik) melebihi 90, ia mungkin petanda bahawa ibu mengalami pre-eklampsia dan berisiko menghidap eklampsia sepenuhnya. Segera berjumpa doktor jika ibu berasa sakit kepala, loya atau penglihatan kabur.

Sakit Kepala Yang Teruk atau Berpanjangan

Sakit kepala kemungkinan adalah kesan daripada epidural yang ibu ambil semasa proses kelahiran. Ia juga mungkin disebabkan oleh kesan bius jika ibu bersalin secara pembedahan. Jika sakit kepala berterusan dan semakin teruk, ibu harus maklumkan kepada doktor kerana dikhuatiri ia adalah petanda kepada pre-eklampsia yang boleh berlaku sebelum atau selepas bersalin. Jika ianya adalah petanda pre-eklampsia, sakit kepala biasanya disertai dengan rasa loya dan penglihatan kabur.

Tidak dapat membuang air kecil dalam enam jam pertama selepas bersalin

Dalam masa enam jam selepas bersalin, ibu haruslah membuang air kecil dalam suatu jumlah tertentu. Jururawat akan membantu memeriksa sama ada ibu megalami masalah air kencing bertakung.

Demam Panas

Demam panas yang disertai dengan badan menggigil mungkin adalah petanda ibu mengalami jangkitan. Sakit yang lebih teruk boleh melanda ibu dalam masa yang singkat jika tiada rawatan diberikan.  Rawatan segera adalah diperlukan supaya tidak membahayakan ibu. Jangkitan biasanya melibatkan luka pada jahitan ataupun pada rahim.

Nafas Pendek/ Sesak Nafas

Dalam keadaan biasa, nafas pendek ini biasanya berlaku jika kita melakukan aktiviti aktif seperti mendaki bukit. Bagaimanapun, dalam situasi selepas bersalin, jika ibu mengalami keadaan ini walaupun sudah berehat segeralah ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan. Keadaan seperti ini boleh disebabkan oleh embolisme pulmonari iaitu keadaan salur darah yang tersumbat di bahagian peparu.

Sakit Dada

Proses meneran semasa bersalin atau jika berlaku jangkitan pada paru-paru boleh menjadi punca kepada sakit dada. Ia juga mungkin disebabkan berlakunya penyumbatan salur darah (embolisme pulmonari) dan ianya tidak boleh di abaikan. Segeralah ke hospital jika mengalami kesakitan, sesak nafas atau batuk berdarah.

Sakit pada Bahagian Betis

Semasa bersalin, berat badan yang meningkat akan membebankan kaki ibu. Semasa proses meneran pula, biasanya kaki ibu harus di buka luas dan ini pastinya memberi tekanan kepada otot dan salur darah pada kaki. Jika ibu mengalami kesakitan pada betis, ia mungkin adalah trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT) iaitu suatu keadaan di mana berlakunya pembekuan darah pada vena dalam otot dan ia boleh membawa maut. Simptom lain yang boleh diperjatikan ialah tanda merah, bengkak dan/atau suhu badan yang tinggi sedikit.

Berfikir Hendak Membunuh Diri/ Kemurungan

Selepas bersalin, ibu berisiko mengalami kemurungan. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang drastik dialami ketika melahirkan. Perubahan hormon ini boleh mempengaruhi mood ibu selepas bersalin ditambah dengan keadaan diri yang penat sepanjang proses kelahiran. Sekiranya ibu tiba-tiba berasa seperti hendak membunuh diri atau berasa murung tanpa suatu sebab yang pasti, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mengelakkan perkara yang lebih teruk pada diri ibu.

Berlaku Kurang Waras,Termasuk Insomnia atau Mudah Gelisah

Kemurungan yang tidak di rawat boleh menjadi parah dan boleh menyebabkan ibu menjadi kurang waras atau lebih umum dikenali sebagai meroyan / bentan. Si ibu yang mengalami situasi ini boleh bertindak di luar sedar dan ada kes si ibu hilang kawalan dan mencederakan bayinya yang baru lahir. Dapatkan rawatan dengan SEGERA. Sekiranya ibu berasa terlalu letih dan perlukan rehat, mintalah pertolongan daripada ahli keluarga untuk membantu ibu.

Apapun dinasihatkan ibu-ibu mengambil langkah segera sekiranya berasa tidak sihat selepas bersalin, terus dapatkan rawatan doktor tanpa bertangguh demi menyelamatkan nyawa. Wallahua’lam.

***Saya mohon kemurahan hati kalian mendoakan sahabat saya diberikan kekuatan luarbiasa oleh Allah dalam menempuh ujian hebat ini, dan doakan anaknya sihat dan baik baik sahaja. Jazakumullah khairal jaza’

 

Salam Sayang,

Ummu ‘Ayyash | Zulaikha Ali (ID 1075383)
 018-3164133
 sakieenah@yahoo.com
Pengedar Shaklee Kawasan Muar
 Luar dari kawasan MUAR, boleh gunakan perkhidmatan POS LAJU/GDEX untuk penghantaran

Ibu kepada 3 superheroes, work happily at home mom. Memilih Shaklee sebagai lifetime bussiness dalam mencapai financial dan time freedom. Bekas pendidik, merupakan editor Kelab Ibu Ohsem dan founder at Official FB Page Ummu Ayyash Dot Com.

Leave A Reply

CommentLuv badge